KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan insiden arak dihidangkan dalam majlis makan malam rasmi kementerian itu, tidak lagi berulang.
Katanya, kementerian akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan dan etika yang telah ditetapkan.
“MOTAC menerima teguran YAB Perdana Menteri berhubung penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini.
“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kementerian turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali. MOTAC akan terus memperkukuh serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.
Terdahulu Bernama melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Beliau berkata penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
@malaysiagazette Arak: Aku Dah Jawab, Cukup Lah! Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing hanya menjawab: “Aku (saya) sudah jawab…cukuplah.” malaysiagazette #MOTAC















