KUALA LUMPUR – Dua anggota kumpulan rock ternama Wings mengumumkan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan berkenaan.
Dalam satu kenyataan bersama, Black atau nama sebenarnya Azmi Hashim dan Eddie atau nama sebenarnya Samsaidi Ulong berkata, pengunduran tersebut berkuatkuasa serta-merta.
“Dengan ini kami juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan terlibat dalam ‘Konsert Wings 40 Tahun Celebration’ yang dijadualkan berlangsung pada 28 November di Kuala Lumpur dan 24 Disember di Singapura,” kata kenyataan itu, malam ini.
Eddie merupakan pemain bass manakala Black adalah pemain drum bagi kumpulan rock lagenda itu.
Susulan pengunduran Black dan Eddie, Wings kini hanya dibarisi Datuk Awie selaku vokal, Syam (gitar utama) dan Edrie (gitar irama). -MalaysiaGazette
















