Sri Sanjeevan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR –  Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang mendakwa kerajaan Negeri Sembilan bertindak tidak adil apabila didakwa cuba menghalang penganjuran ‘Program Pesta Deepavali Prihatin Jeram Padang’ yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat.

Penyelaras DUN Jeram Padang, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan mendakwa, larangan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) terhadap pemasangan khemah dan penggunaan kawasan awam bagi program tersebut amat mengecewakan kerana alasan diberikan tidak munasabah.

“Surat rasmi bertarikh 30 September yang kami terima jelas menunjukkan sikap tidak berjiwa rakyat dan berat sebelah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan MPJL itu menimbulkan persoalan kerana kerajaan negeri sering menutup jalan dan membenarkan pemasangan khemah di kawasan awam apabila program dianjurkan oleh pemimpin mereka.

“Ironinya, apabila melibatkan program kerajaan negeri atau pemimpin mereka, seluruh jalan boleh ditutup dan khemah dipasang sampai ke tengah jalan pun tidak menjadi masalah.

“Tapi bila program kebajikan untuk masyarakat India dianjurkan PN, terus disekat kononnya atas nama peraturan,” dakwanya.

Sanjeevan menjelaskan, program tersebut bertujuan menyampaikan bantuan dan menyemarakkan semangat sambutan Deepavali, bukannya platform politik.

Beliau berkata, PN Jeram Padang tetap akan meneruskan program berkenaan walaupun tanpa sokongan pihak berkuasa tempatan atau agensi di bawah kerajaan negeri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast