Sebahagian ahli keluarga yang hadir untuk menyambut kepulangan 23 orang delegasi Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla ke Gaza, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Foto SADIQ SANI, 07 OKTOBER 2025

DALAM beberapa minggu ini, perhatian dunia telah disorot kepada misi berani seperti Global Sumud Flotilla (GSF) yang bergadai nyawa membantu rakyat Palestin yang bukan sahaja dikepung dari segenap penjuru, tetapi juga dibunuh termasuk melalui kebuluran paksaan.

Kisah-kisah keberanian aktivis GSF termasuk sukarelawan Malaysia, yang menempuh risiko demi membawa bantuan telah menghiasi media.

Mereka menempuh beribu kilometer dari negara masing-masing melalui darat dan udara kemudian meredah lautan hanya untuk sampai ke Gaza, mempertaruhkan nyawa kerana mahu memecahkan kepungan Israel sekali gus menyampaikan barangan keperluan. Kita wajar meraikan semangat solidariti ini.

Namun, semangat yang sama perlu kita salurkan untuk memastikan fokus utama tidak tergelincir, iaitu kepada Gaza dan krisis kemanusiaan yang kian meruncing di semenanjung itu.

Misi-misi ini adalah pemangkin tetapi tumpuan hakiki mesti kekal kepada usaha pemulihan dan kelangsungan hidup rakyat Palestin yang menghadapi pembunuhan beramai-ramai genap dua tahun semalam, 7 Oktober 2025.

Misi GSF yang secara langsung mencabar sekatan ke atas Gaza menjadi peringatan tegas tentang kepungan berterusan yang menjadi punca utama penderitaan penduduk Palestin bukan sahaja di semenanjung itu tetapi juga di Tebing Barat.

Kisah aktivis yang ditahan dan mengalami kesulitan akibat tindakan kasar Israel seharusnya tidak hanya menjadi berita sensasi, tetapi menjadi penggerak untuk kita bertindak. Kita perlu mengalihkan perbualan daripada sekadar “perjuangan aktivis” kepada “keperluan mendesak rakyat Gaza.”

Kita mesti menggunakan momentum ini untuk membina naratif positif tentang ketabahan dan bagaimana dunia boleh membantu memulihkan maruah mereka.

Di Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), fokusnya adalah ‘berterusan menghulur walau sedikit’ dan berpegang kepada falsafah bahawa keberkesanan terletak pada komitmen yang berterusan, bukan hanya pada skala.

MAHAR memastikan fokus utama tidak teralih walaupun sedikit dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza. Inilah cerminan semangat ‘Sumud’ (ketekunan) yang menjadi tunjang kepada setiap usaha yang dilakukan.

Bantuan yang konsisten ini adalah penting untuk menjamin kelangsungan hidup penduduk Gaza yang semakin melarat. Menyediakan bekalan kritikal seperti makanan, air bersih dan ubat-ubatan menjadi benteng pertahanan pertama menentang kebuluran dan penyakit.

Melabur dalam pemulihan dengan menyokong projek-projek yang membina semula harapan, terutamanya inisiatif pendidikan dan perlindungan untuk anak-anak yatim dan golongan rentan, demi masa depan Gaza yang lebih baik.

Kekalkan Gaza di landasan utama. Marilah kita buktikan bahawa Malaysia berdiri teguh di belakang rakyat Gaza dan jangan biarkan fokus kita beralih. Gunakan semangat Global Sumud Flotilla ini sebagai loncatan untuk tindakan yang lebih besar dan berpanjangan bagi rakyat Palestin.

Apa yang anda boleh lakukan sekarang, sumbangan berterusan. Ingat! setiap bantuan adalah langkah kehidupan. Salurkan sumbangan melalui organisasi yang dipercayai.

Pastikan perkongsian anda di media sosial adalah mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, bukan hanya tentang berita-berita lain yang mungkin mengalih perhatian.

Kongsikan kisah-kisah harapan dan keperluan pemulihan. Gaza berhak mendapat kehidupan yang aman dan bermaruah.

Dengan semangat perpaduan yang mendalam, kita akan terus berjuang untuk memastikan setiap sumbangan dan fokus kita menyumbang kepada kemanusiaan, keadilan, dan masa depan yang lebih cerah buat rakyat Palestin.

Matlamat utama kita kekal teguh, melihat Palestin terutama di Gaza, mencapai kemerdekaan yang mutlak dan berkekalan. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka.

Tengku Ain Tengku Abdullah

Tengku Ain Tengku Abdullah
Pengarah Komunikasi MAHAR

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast