Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 246 aduan berhubung amalan ‘union busting’ atau tindakan majikan menindas hak kesatuan sekerja telah diterima oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) antara tahun 2015 hingga 31 Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, 158 aduan telah berjaya diselesaikan di peringkat JPPM melalui rundingan damai manakala 24 aduan masih dalam tindakan jabatan dan 64 lagi telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan untuk pendengaran.

Menurut beliau, di bawah Seksyen 8(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), Ketua Pengarah JPPM mempunyai kuasa untuk mengambil langkah-langkah perlu atau membuat inkuiri yang wajar bagi menyelesaikan aduan ‘union busting’ mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kementerian Sumber Manusia melalui JPPM sentiasa komited memastikan hak dan kebebasan pekerja untuk menubuhkan serta menyertai kesatuan sekerja dilindungi sepenuhnya,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Hong Pin dalam soalannya meminta kementerian menyatakan jumlah aduan berhubung amalan ‘union busting’ yang diterima sejak tahun 2015 serta hasil siasatan terhadap dua syarikat iaitu Flextronics Penang dan XSD International Paper.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memaklumkan aduan melibatkan dua syarikat tersebut kini sedang dalam proses rundingan damai dan inkuiri di bawah Seksyen 8(2) Akta 177.

Beliau turut menjelaskan pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan kementerian bagi memperkukuh ekosistem hubungan perusahaan yang harmoni dan berkeadilan.

Antara langkah itu termasuk program pendidikan perusahaan, pemantauan berterusan terhadap tindakan majikan, serta penambahbaikan dasar dan prosedur perundangan berkaitan dengan kebebasan berpersatuan pekerja.

“Usaha ini selaras dengan aspirasi Malaysia yang menekankan keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi dan perlindungan hak pekerja,” katanya lagi.

Dalam maklumat tambahan yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat, beliau turut memaklumkan sehingga 30 September tahun ini, sebanyak 64 kes pertikaian perusahaan berkaitan ‘union busting’ telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan sejak tahun 2015.

Daripada jumlah itu, 58 kes telah diselesaikan dengan pengeluaran award, manakala enam kes lagi masih dalam proses perbicaraan atau menunggu keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast