SEPANG – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan para sukarelawan Malaysia dalam Global Sumud Flotila (GSF) bukan masuk ke Israel secara haram sebaliknya mereka ke Gaza demi misi kemanusiaan.
Malangnya, jelas beliau, mereka ditahan tentera Israel sebelum dijadikan tahanan dan dibawa ke penjara di negara tersebut.
“Orang kata mereka masuk Israel secara haram, mereka tidak pergi ke Israel mereka nak pergi ke Gaza tapi dikepung oleh tentera rejim Zionis Israel dan ditahan di Israel, jadi jangan dengar cakap orang,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan 23 para sukarelawan GSF dari Istanbul, Turkiye di KLIA Terminal 1 di sini malam ini.
Mohamad turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas tahap diplomasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tinggi hingga yang berjaya membawa pulang sukarelawan GSF dengan pantas.
“Terima kasih kepada PM di atas usaha dengan tahap diplomasi tertinggi beliau bersama dengan kepimpinan negara-negara sahabat (seperti) Turkiye, Mesir dan Jordan kerana bersama dapat bawa keluar rakyat Malaysia yang ditahan secara haram di Israel. Alhamdulillah anak-anak kita selamat kembali ke tanah air,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad turut menyatakan sokongan terhadap usaha para sukarelawan dari delegasi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang sedang menuju ke Gaza.
Sementara itu, kepulangan kesemua sukarelawan itu akhirnya menamatkan ketegangan selepas mereka ditahan oleh pasukan keselamatan Israel pada 2 Oktober lalu di perairan Gaza.
Namun kesemua mereka dibebaskan dan diterbangkan ke Istanbul hasil usaha diplomatik kerajaan.
Semua sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot yang terletak di padang pasir Negev.
Mereka sebelum ini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel baru-baru ini menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pukul 3.40 petang waktu tempatan.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Nur Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah Helmi, Norfarahin Romli (Farah Lee), Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana), Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat) dan Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana). – MalaysiaGazette
















