BENTONG – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menugaskan seramai 500 pegawai dan anggota dalam memantau Op Lancar sempena Deepavali bermula 17 hingga 21 Oktober ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara sepanjang musim perayaan itu.
“Operasi ini akan memberi tumpuan kepada kawasan hotspot seperti lebuh raya utama, jalan bandaran serta jalan Persekutuan yang dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan.
“Kita juga menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sepanjang musim perayaan dan lebih 500 anggota JSPT akan digerakkan sepanjang tempoh operasi ini” katanya pada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Latihan Menembak JSPT bersama media di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, kerjasama erat bersama media amat penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat, selain memaklumkan kejayaan JSPT.
“Baru-baru ini, kita berjaya mengesan sebuah kenderaan dan merampas dadah bernilai lebih RM12 juta hasil operasi bersepadu.
“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pegawai dan anggota terbabit kerana membantu jabatan lain dalam memastikan keselamatan serta keteramanan awam,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Yusri turut menyeru pengguna jalan raya supaya terus mematuhi undang-undang dan memandu kenderaan secara berhemah.
“Orang ramai boleh menyalurkan makumat berkaitan jenayah atau kemalangan kepada pihak polis bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang musim perayaan ini,” katanya . – MalaysiaGazette
















