KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menubuhkan pakatan ketenteraan dalam kalangan negara-negara Islam perlu diperhalusi dengan teliti bagi memastikan ia benar-benar menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan serantau serta antarabangsa.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia berpandangan sebarang bentuk kerjasama sedemikian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan semata-mata.
“Sehubungan itu, cadangan untuk menubuhkan pakatan ketenteraan dalam kalangan negara-negara Islam perlu diperhalusi dengan teliti.
“Malaysia lebih cenderung untuk berpandangan bahawa sebarang bentuk kerjasama sedemikian hendaklah bersifat menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan semata-mata,” katanya pada sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad Alamin berkata demikian menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN- Padang Terap) yang ingin tahu pendirian rasmi Malaysia terhadap kenyataan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani yang menggesa penubuhan satu pakatan ketenteraan negara-negara Islam bagi menghadapi dasar penindasan Israel.
Menurut beliau, pendekatan holistik yang turut merangkumi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kapasiti amat penting bagi memastikan objektif keamanan dan kesejahteraan dapat dicapai.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, Malaysia kekal komited menentang sebarang bentuk penindasan dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
“Malaysia komited menentang sebarang bentuk penindasan serta pencabulan hak asasi manusia termasuklah dasar pendudukan dan penindasan yang dilakukan oleh rejim Zionist Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau turut menegaskan sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin melalui penyelesaian dua negara berasaskan Persempadanan Pra 1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
“Malaysia turut konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan penyelesaian dua negara berasaskan Persempadanan Pra 1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negaranya,” ujarnya.
Menurutnya, Malaysia aktif menyokong visi pengaman antarabangsa di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antaranya melalui penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) sejak 2007.
“Penyertaan sebegini melambangkan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB serta menegaskan pendirian negara dalam menyokong keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa. Malaysia juga bersedia mengambil bahagian dalam sebarang bentuk operasi pengaman di Palestin sekiranya diwujudkan di bawah panji PBB,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia terus aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui koordinasi Kementerian Luar Negeri, agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Perwakilan Malaysia di rantau kenal turut memainkan peranan penting dalam memudah cara pengagihan bantuan serta memberi gambaran situasi sebenar di lapangan pada khidmat Malaysia.
“Sekiranya wujud kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara Islam termasuk dari sudut penyaluran bantuan kemanusiaan, ia berpotensi memperkukuh solidariti umat Islam dan seterusnya meningkatkan keberkesanan usaha membantu rakyat Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette
















