Aktivis Global Sumud Flotila (GSF) hadir pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Israel ketika di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Perjuangan Sumud Global Flotilla (GSF) menonjolkan semangat, kekuatan dan ketabahan wanita sebagai nadi kebangkitan serta harapan umat.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, aktivisi wanita yang menyertai misi itu bukan sekadar penyokong tetapi juga penggerak utama kekuatan dan kesedaran dalam membela perjuangan ummah.

Jelasnya, ketegasan dan kelembutan mereka membuktikan bahawa wanita juga memainkan peranan penting dalam menyemarakkan perjuangan membela kebenaran.

Foto: FB Fauwaz Fadzil

“Saya juga menegaskan bahawa membela Gaza bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah.

“Justeru, saya menyeru agar umat Islam terus berdoa, bersatu dan memperkukuh usaha kemanusiaan demi membela hak serta kebebasan rakyat Palestin yang terus dizalimi,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Ahmad Fauwaz antara yang turut hadir dan menyampaikan ucapan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 23 wira dan wirawati negara yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza.

Lebih 10,000 orang menghadiri himpunan itu bagi menyuarakan solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.

Antara aktivis wanita yang menyertai misi GSF ke Gaza yang kemudiannya ditahan Israel sebelum berjaya dibawa pulang ke tanah air termasuk Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Zizi Kirana dan Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana.

Sementara itu, Ahmad Fauwaz turut mengajak seluruh rakyat mendoakan keselamatan dan pembebasan buat para aktivis serta sukarelawan yang masih ditahan rejim Israel, termasuk peserta Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

“Semoga Allah mengurniakan kemenangan kepada perjuangan suci ini dan menjadikan kita umat yang istiqamah dalam menegakkan kebenaran.

“Palestin akan terus hidup di hati rakyat Malaysia!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast