Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya tidak mengulangi kesilapan yang berlaku dalam projek pembangunan Kampung Sungai Baru ketika melaksanakan pembangunan semula di Kampung Baru, jelas Hassan Karim (PH-Pasir Gudang).

Beliau menegaskan kerajaan perlu menjaga nama baik sebagai sebuah kerajaan yang adil dan benar-benar memelihara warisan serta penempatan masyarakat Melayu di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

“Saya percaya kalau betul kerajaan yang adil dan Madani, jangan lakukan kesilapan di Kampung Sungai Baru ini terhadap pembangunan di Kampung Baru.

“Biarlah nama baik kerajaan Madani ini kekal harum sebagai kerajaan yang betul-betul memelihara warisan dan penempatan masyarakat Melayu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan berkata demikian ketika membahaskan sesi penerangan hala tuju Kampung Baru kearah memperkasakan identiti Melayu di Kuala Lumpur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa hari ini.

Dalam masa sama, Hassan membangkitkan persoalan berhubung tindakan merobohkan rumah penduduk Kampung Sungai Baru walaupun proses rayuan terhadap perintah mahkamah masih berjalan.

“Dalam kes Kampung Sungai Baru, betul pemaju telah mendapat perintah vacant possession, boleh roboh tetapi penduduk telah buat rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap perintah itu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan prosedur pengeluaran perintah mahkamah tersebut yang menurutnya tidak dikeluarkan oleh hakim.

“Perintah mahkamah itu yang merobohkan rumah penduduk Kampung Sungai Baru dikeluarkan bukan oleh hakim, hanya oleh penolong pendaftar kanan bukan bertaraf hakim dan penduduk melalui peguam telah membuat rayuan,” jelasnya.

Hassan turut berkata, tindakan merobohkan rumah sebelum proses rayuan didengar adalah tidak adil dan bertentangan dengan prinsip undang-undang bahkan tidak memihak kepada penduduk yang mempunyai hartanah di Kampung Sungai Baru.

“Sebelum rayuan dibicarakan, rumah telah dirobohkan. Ertinya belum dikuatkuasakan lagi. Ini tidak adil. Kita kata negara berjalan berdasarkan hukum, ini harta rakyat, mereka bukan setinggan. Mengapa Perintah 89 digunakan untuk merobohkan rumah mereka?” soalnya.

Beliau menegaskan isu itu perlu dilihat secara serius kerana melibatkan hak rakyat serta kredibiliti kerajaan dalam mengurus pembangunan yang menyentuh komuniti tradisi bandar.

Dr Zaliha terdahulu menegaskan bahawa tiada rekod rasmi yang menunjukkan Kampung Sungai Baru adalah tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau rizab Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast