SHAH ALAM – Mayat kru kapal korek pasir, MV DARRUN 88 yang dilaporkan hilang kira-kira pukul 12.30 malam Isnin lepas berjaya ditemui semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, mayat ditemui pada 8.20 pagi lebih kurang 50 meter dari kapal korek pasir tersebut bersauh, satu batu nautika barat Pantai Acheh, Pulau Indah.
“Mayat mangsa, Luo Deliang berumur 54 tahun warga China tersebut ditemui oleh bot Maritim PERKASA 36 yang ditugaskan untuk operasi CARILAMAT serta bantuan dari Agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut membantu operasi pencarian sejak semalam.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Peninsular Sailing Club sekitar pukul 9.10 pagi semalam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.
Susulan penemuan tersebut Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) ditamatkan.
Dalam pada itu, beliau semua pihak yang terlibat dalam aktiviti laut supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk pemakaian jaket keselamatan.
Maritim Malaysia menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat lengkap sekiranya berlaku kecemasan, kejadian jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette
















