Mayat mangsa ditemui dalam sebuah bagasi di belakang Flat Ampang Jajar, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan lehernya dikelar dan tangan diikat sebelum disumbat dalam sebuah bagasi di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Mayat tanpa identiti itu ditemui kira-kira jam 1.43 petang oleh seorang pekerja pembersihan saluran yang sedang menjalankan tugas rutin di kawasan flat berkenaan, sebelum melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis.

MalaysiaGazette difahamkan, hasil pemeriksaan awal pihak polis dan pasukan forensik mendapati keadaan fizikal mangsa menunjukkan dia dipercayai baru dibunuh, berdasarkan keadaan mayat serta kesan kecederaan.

Selain itu, mangsa juga ditemui dengan kesan kelar pada leher, tangan diikat manakala kepalanya diserkup menggunakan plastik.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

Pihak polis masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibungkus dan dicampak di kawasan itu. Usaha turut giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast