Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 9 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memaklumkan perkembangan perolehan pesawat F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait sebaik memperoleh pengesahan rasmi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu memerlukan penjelasan dan sebaik mendapat pengesahan rasmi beliau akan memaklumkannya semula.

“Apabila sudah ada pengesahan baru saya akan beritahu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 di Dewan Zulkifeli Zin Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Beliau mengulas perkembangan rundingan Malaysia dengan Kuwait bagi mendapatkan pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet.

Media sebelum ini melaporkan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan penilaian menyeluruh sebelum memuktamadkan perolehan pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait.

Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dilaporkan berkata, penilaian itu antara lain meliputi aspek tarikh penyerahan dan kos perolehan serta penyelenggaraan bagi membolehkan TUDM terus mengoperasikan pesawat itu pada masa hadapan.

Penilaian perolehan pesawat itu dilaksanakan oleh Malaysia susulan kelulusan rasmi daripada Amerika Syarikat selaku negara pengeluar pesawat.

Bagaimanapun, sebuah portal melaporkan rundingan perolehan pesawat pejuang itu berakhir dengan alasan proses membuat keputusan mengenainya adalah kompleks.

Mohamed Khaled ketika mengadakan lawatan ke Kuwait pada 7 Oktober tahun lalu  mengadakan perbincangan dengan kepimpinan negara itu untuk memperoleh pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kuwait dilaporkan memberikan jawapan positif mengenai  perkara itu dan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pegawai tentera antara kedua-dua negara untuk memulakan perbincangan serta rundingan bagi memastikan prasyarat dipenuhi seterusnya membolehkan proses pembelian jet berkenaan dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast