SHAH ALAM – Pos Malaysia melepasi tahap purata prestasi kepuasan pelanggan dalam industri perkhidmatan penghantaran dan mel dengan rekod 91 peratus.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan rekod aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 1 Januari hingga 15 September lalu, Pos Malaysia tidak menerima aduan kelewatan penghantaran berbanding syarikat penghantaran lain.
“Lebih 50 hingga 60 peritus daripada semua aduan melibatkan syarikat kurier tapi bukan Pos Malaysia. Pos Malaysia tetap menghantar menepati masa.
“Kalau ada sesiapa mengatakan lain dari itu berdasarkan maklumat yang kami terima tidak ada kelewatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Redly, Penyelesaian Berassaskan Teknologi untuk E-Dagang Global dan Penghantaran Merentas Sempadan, di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, tahap purata kepuasan pelanggan yang optimum bermula 82 peratus.
Terdahulu, beliau berkata, MCMC menerima lebih 4,000 aduan kelewatan penghantaran oleh syarikat yang tidak dinamakannya.
“Saya tidak boleh sebut siapa tapi ada aduan ini melibatan melibatkan penghantaran lewat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















