KUALA LUMPUR – Kerajaan sekali lagi akan memberi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas pada tahun depan.
Perdana Menteri yang membuat pengumuman itu berkata, bantuan itu akan disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina.
“Sukacita saya umumkan, kerajaan sekali lagi akan memberi RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 31 Ogos lalu, semua rakyat yang berusia 18 tahun ke atas mendapat RM100 menerusi Penghargaan SARA.
Lebih 70 peratus telah dibelanjakan dan sepertimana janji, baki SARA yang tidak dibelanjakan menjelang Disember akan diagih semula untuk program rakyat susah. – MalaysiaGazette
















