KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia Selangor (DPIM Selangor) menyambut baik pembentangan Belanjawan Malaysia 2026 oleh Perdana Menteri yang disifatkan menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Menurut pengerusinya, Mohd Yahya Mat Sahri, pihaknya menyokong penuh pendekatan berteraskan nilai Malaysia Madani yang digariskan dalam belanjawan tersebut khususnya usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan serta memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“DPIM Selangor melihat Belanjawan 2026 sebagai satu langkah tepat dan menyeluruh. Ia menampilkan komitmen kerajaan terhadap keberkesanan, ketelusan dan tanggungjawab sosial dalam memperluas peluang ekonomi untuk umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
“Kami yakin langkah-langkah strategik yang diumumkan akan memperkukuh daya tahan ekonomi negara, merancakkan pelaburan serta memperkukuh jaringan perdagangan domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Yahya, DPIM Selangor akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam memastikan manfaat belanjawan dapat disampaikan hingga ke akar umbi usahawan dan komuniti perniagaan tempatan.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka tetapi cerminan tekad membina negara bangsa yang sejahtera dan berdaya saing,” ujarnya.
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat, pemerkasaan sektor keusahawanan serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan selaras dengan prinsip Malaysia Madani. – MalaysiaGazette
















