KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat dari Israel yang dijadual tiba di Lapangan Terbang Istanbul sekitar pukul 3 petang waktu tempatan kemungkinan membawa 95 individu dipercayai semua peserta kapal Conscience daripada misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri berkata, maklumat itu adalah daripada Kementerian Luar Turkiye yang memaklumkan pesawat tersebut merupakan penerbangan khas yang membawa kumpulan sukarelawan yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas armada mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
“Kementerian Luar Turki : Kapal terbang dari negara penjajah akan tiba di Istanbul 3pm, membawa 95 orang (kemungkinan semua peserta Conscience),” kata Nadir.
Nadir memaklumkan, pihaknya menerima maklumat tersebut daripada Kementerian Luar Turkiye dan sedang menunggu pengesahan lanjut berhubung identiti mereka yang berada dalam pesawat itu.
Kapal Conscience yang membawa wakil dari pelbagai negara termasuk Malaysia merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan yang berusaha menyalurkan bantuan ke Gaza, namun disekat oleh tentera laut Israel minggu lalu.
Kapal Conscience yang membawa 92 orang doktor perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan termasuk lapan delegasi Malaysia telah tiba di Pelabuhan Ashdod kira-kira 12.45 pagi Khamis, waktu Malaysia.
Menurut Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), para peguam daripada daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) juga berada di pelabuhan itu bagi menunggu kesemua peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG).
Semalam dilaporkan kesembilan kapal di bawah misi tersebut dipintas oleh rejim Zionis pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.
Untuk rekod, misi yang merentasi Laut Mediterranean itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.
Misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCare mengetuai delegasi Malaysia yang terdiri daripada lapan wakil dalam kapal Conscience termasuk Mohd Afandi, tiga doktor, dua pensyarah, seorang ahli lembaga MyCare dan seorang wartawan Astro Awani.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di Kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September lalu bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza. – MalaysiaGazette
















