KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencuri perhatian apabila hadir ke Dewan Rakyat petang ini bagi mengikuti pembentangan Belanjawan 2026, meskipun masih dalam tempoh cuti sakit.
Kehadiran beliau disambut dengan rasa hormat oleh rakan-rakan ahli Parlimen dan kakitangan kementerian yang kagum dengan semangat tanggungjawab tinggi yang ditunjukkan walaupun sedang dalam proses pemulihan.
Menurut setiausaha akhbarnya, Adeysham Nor, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu hadir kerana menganggap pembentangan Belanjawan sebagai acara penting yang memberi kesan besar kepada seluruh rakyat khususnya sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
“Walaupun beliau masih dalam tempoh cuti sakit dan dinasihatkan untuk berehat, menteri berpendapat pembentangan Belanjawan adalah acara penting yang hanya berlangsung sekali setahun dan melibatkan kepentingan seluruh rakyat, khususnya sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara,” menurut beliau dalam satu kenyataan.
Mohamad yang mesra disapa Mat Sabu dilihat hadir dengan berpakaian kemas dan sempat bertegur sapa dengan beberapa ahli Parlimen sebelum duduk mendengar pembentangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau memohon maaf kerana tidak dapat melayani sebarang temuramah media selepas sesi pembentangan tersebut.
“Menteri memohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang temuramah pada petang ini memandangkan beliau akan terus pulang ke rumah untuk berehat seperti dinasihatkan oleh doktor,” jelas Adeysham lagi.
Dalam masa sama, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya sepanjang tempoh pemulihan.
Dalam pada itu, Adeysham turut memaklumkan Mohamad menunjukkan perkembangan positif dan dijangka kembali bertugas sepenuhnya dalam masa terdekat selepas mendapat kebenaran daripada pasukan perubatan.
Beliau sebelum ini mengambil cuti sakit bagi memberi tumpuan kepada rawatan dan rehat namun tetap menunjukkan komitmen tinggi terhadap tanggungjawab sebagai anggota Jemaah Menteri. – MalaysiaGazette
















