Dr Helmi Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal (MEH) menyambut baik Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri berhubung insentif diberikan kepada penganjuran program anti rasuah.

Setiausaha Agung MEH, Dr Helmi Ibrahim berkata, insentif berupa pemotongan cukai sebanyak 10 peratus kepada pihak swasta menyumbang kepada NGO yang menjalankan aktiviti antirasuah satu inovasi terkini Kerajaan Madani dalam memperkasakan usaha memerangi rasuah.

“MEH telah menggerakkan kempen sedar halal banteras rasuah sejak sekian lama berpandangan inisiatif ini boleh dilihat sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim memperbaharui iltizamnya memerangi rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Helmi, menyedari gabungan Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum lalu atas tiket memerangi rasuah maka belanjawan kali ini boleh dianggap suntikan semangat baru setelah kelihatan agak muram sejak kebelakangan ini.

“Akhir-akhir ini gejala rasuah semakin bermaharajalela khususnya dalam agensi penguatkuasa khususnya dan agensi awam amnya.

“Ia sekali gus menuntut suatu gerakan yang komprehensif, kental dan tulen harus digerakkan dari atas dan dari bawah yang melibatkan semua pihak iaitu kerajaan, swasta dan pertubuhan sivil,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Rasuah Busters.

Kegagalan menangani isu rasuah akan mengakibatkan Malaysia menjadi negara yang pincang pembangunannya.

Justeru itu usaha Kerajaan Madani melalui Belanjawan Madani 2026 harus dilihat sebagai suatu vektor yang boleh diserangkumkan dengan penglibatan semua pihak, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast