KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyokong langkah memberikan kerakyatan kepada pemain warisan.
Katanya, pemberian kerakyatan kepada pemain warisan itu adalah langkah strategik supaya Malaysia layak memasuki pusingan akhir bola sepak Piala Dunia.
Jelas beliau, ia juga merupakan langkah baik untuk meningkatkan kualiti sukan negara dan memberi motivasi kepada bakat tempatan agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kenapa dipolitikkan kewarnegaraan pemain warisan?
“Apa salahnya diberi kerakyatan atas agenda “nasional”,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam masa sama, Mohd. Puad berkata, Malaysia boleh mencontohi Singapura yang menubuhkan Foreign Sports Talent (FST), yang mana ahli sukan bertaraf dunia diberi kerakyatan secara “fast track”.
Malah, katanya, terdapat atlet menerusi FST itu berjaya memenangi pingat pada Sukan Olimpik, sekali gus memberi semangat kepada rakyat Singapura untuk lebih berdaya saing.
“Ikut pengalaman FST, selepas mendapat kerakyatan mereka masuk program khas untuk diintegrasikan dengan budaya rakyat tempatan.
“Jumlahnya bukan ramai. Untuk jenis sukan yang terpilih sahaja,” katanya.
Malaysia ketika ini berdepan kontroversi susulan selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan tujuh pemain naturalisasi untuk diturunkan dalam aksi rasmi Malaysia.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero; Facundo Garces; Rodrigo Holgado; Imanol Machuca; Joao Figueiredo; Jon Irazabal dan Hector Hevel yang sebelum ini sudah beraksi dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Susulan itu, FAM diperintahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) selain digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta. – MalaysiaGazette
















