KUALA LUMPUR – Emolumen kekal sebagai komponen terbesar perbelanjaan operasi diunjur meningkat sebanyak 5.6% kepada RM109.4 bilion disebabkan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA Fasa 2) termasuk kenaikan gaji pokok 7% bagi penjawat awam Gred 15 dan ke bawah.
Pertumbuhan ini juga disumbangkan oleh penambahbaikan dan kemajuan kerjaya angkatan tentera seperti yang diumumkan semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam 2025.
Menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, bayaran persaraan yang merangkumi 12.7% daripada perbelanjaan operasi dijangka meningkat sebanyak 6.8% kepada RM42.8 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM33.7 bilion atau 78.8 peratus diperuntukkan untuk pembayaran pencen.
Baki peruntukan akan digunakan untuk pembayaran ganjaran dan gantian cuti rehat.
Subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 14.5% daripada perbelanjaan operasi diunjur berkurang sebanyak 14.1% kepada RM49 bilion pada 2026 disebabkan terutamanya harga komoditi global yang lebih rendah dan usaha rasionalisasi subsidi termasuk pelaksanaan Program BUDI95.
Sejumlah RM58.3 bilion diperuntuk bagi bayaran khidmat hutang yang mewakili 17.2% daripada perbelanjaan operasi.
Daripada jumlah ini, sebanyak RM57.6 bilion atau 98.8% diperuntuk untuk pinjaman domestik manakala baki untuk membiayai pinjaman luar pesisir.
Perkhidmatan dan bekalan iaitu perbelanjaan yang diperlukan bagi penyelenggaraan dan operasi kemudahan serta institusi awam diunjur berkurang sebanyak 5.2% kepada RM40.3 bilion atau 11.9% daripada perbelanjaan operasi.
Daripada peruntukan ini, sebanyak 86.2% disalurkan kepada bekalan bahan, perkhidmatan pembersihan dan keselamatan, pembaikan dan penyelenggaraan serta telekomunikasi dan utility.
Penerima terbesar peruntukan ini ialah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan terutama bagi penyelenggaraan 10,000 sekolah dan 150 hospital di seluruh negara.
Sementara itu, sebanyak RM15.8 bilion diperuntukkan kepada badan berkanun dengan sebahagian besar daripada dana ini iaitu 69.4% disediakan untuk 20 university awam dan Sembilan hospital pengajar.
Sejumlah RM9.8 bilion daripada jumlah perbelanjaan operasi diperuntukkan untuk pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri, termasuk RM7.7 bilion ialah pemberian yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu Sabah dan Sarawak yang menjadi penerima utama.
Manakala RM81 bilion peruntukan perbelanjaan pembangunan untuk membiayai kira-kira 2,300 program dan projek baharu dalam tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13.
Menurut laporan ini, sektor ekonomi kekal Sebagian penerima terbesar iaitu 45.4%, diikuti social (35.3%), keselamatan (14.5%) dan pentadbiran am (4.8%).
Sejumlah RM36.8 bilion diperuntukkan untuk sektor ekonomi disalurkan kepada subsector pengangkutan, alam sekitar, perdagangan dan industry.
Peruntukan subsektor pengangkutan yang merangkumi 47.7% daripada sektor atau RM17.5 bilion akan menumpukan peningkatan ketersambungan di seluruh negara dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Sebanyak RM3.8 bilion diperuntukkan untuk subsektor alam sekitar bagi menyokong agenda pemeliharaan alam semula jadi dan perubahan iklim, meliputi projek tebatan banjir.
Sejumlah RM3 bilion lagi diperuntukkan kepada subsektor perdagangan dan industri pada 2026 bagi memacu pertumbuhan perindustrian masa hadapan dan RM28.6 bilion untuk sektor social.
Peruntukan sebanyak RM7 bilion disediakan untuk subsektor kesihatan bagi meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan, menaik taraf peralatan perubatan dan bukan perubatan.
Ini termasuk pembinaan Pusat Kanser Wilayah Utara di KEdah dan pembangunan klinik luar bandar khususnya di Mukah, Sarawak; Kubang Semang, Pulau Pinang dan Nabawan, Sabah.
Subsektor perumahan diperuntukkan RM1.5 bilion untuk membiayai projek sedia ada termasuk Program Bantuan Rumah dan Program Rumah Mesra Rakyat.
Sektor keselamatan akan menerima peruntukkan RM11.7 bilion yang merangkumi RM8 bilion untuk subsektor pertahanan dan RM3.7 bilion subsektor keselamatan untuk memperkukuh pertahanan negara dan melindungi keselamatan awam. – MalaysiaGazette















