KUALA LUMPUR – Pelaksanaan subsidi bersasar dapat menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion ringgit setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan untuk meringankan kos sara hidup rakyat dapat diperuntukkan selain membolehkan kerajaan menyediakan prasarana awam yang lebih berkualiti.
“Semua pimpinan Kerajaan sebelum ini mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi. Namun, ia tertangguh kerana tiada tekad politik yang jitu.
“Memaknai subsidi ialah keistimewaan rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing, bukan syarikat besar. Kerajaan menyasarkan subsidi supaya dana awam sampai kepada rakyat,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan berjaya memperolehi penjimatan subsidi sebanyak masing-masing RM1 bilion menerusi pengapungan harga ayam dan harga telur.
Selain itu, penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik purata memberi penjimatan sebanyak RM6 bilion.
Malah menurut Perdana Menteri 85 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif dan ada yang menikmati penurunan bil.
Selain itu katanya, penyasaran subsidi diesel berjaya memberi penjimatan sebanyak RM5 bilion.
“Malah, sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu terus menerima harga diesel bersubsidi. 200 ringgit sebulan diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil,” katanya lagi.
Manakala pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 berpotensi menjimatkan dana negara sekurang- kurangnya RM2.5 bilion.
Malah menurut beliau rakyat dapat menikmati harga minyak lebih rendah RM1.99.
“Urusan BUDI95 berjalan lancar dengan lebih 10 juta rakyat menikmati RON95 pada 99 seliter. Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak sedang dikemas kini untuk menyediakan kuota tambahan kepada 23 ribu pemilik perahu berdaftar dan lebih 52 ribu pemandu e-hailing aktif,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
















