PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan melahirkan seramai 50 pakar paliatif dalam tempoh dua tahun bagi memperluas akses kepada perkhidmatan rawatan pesakit untuk jangka panjang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini, Malaysia mempunyai kapasiti 34 pakar untuk menyediakan keperluan penjagaan hospis kepada sejumlah 180,000 pesakit di 20 buah hospital.
“Kementerian akan meningkatkan keupayaan pakar memberikan rawatan dan penjagaan dalam suasana hospis bagi meningkatkan kedudukan kita dalam usaha mencapai penanda aras global,” ujarnya.
Dzulkefly menyatakan demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Subkepakaran Perubatan Paliatif KKM, Dr. Fazlina Ahmad.
Hospis merujuk kepada penjagaan khusus untuk pesakit kritikal dan tidak dapat disembuhkan yang memfokus pada keselesaan dan kualiti hidup pesakit.
Ia menguruskan gejala, fizikal, emosi, spiritual dan sosial mereka melalui penjagaan di rumah serta di pusat hospis, hospital atau rumah penjagaan.
Dalam ucapannyua, Dzulkefly berkata, akses kepada rawatan paliatif di negara ini menunjukkan peningkatan dengan kurang daripada 10 pesakit yang memerlukan rawatan menerima perkhidmatan tersebut pada tahun 2019, tetapi meningkat kepada 14.5 peratus tahun ini.
Ujar beliau, peningkatan ini mengambarkan usaha berterusan KKM bersama badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan institusi akademik dalam memperluas tenaga pakar, menyediakan latihan berterusan kepada petugas kesihatan.
Sambutan tahun ini merupakan inisiatif bersama IKN, Majlis Hospis dan Rawatan Paliatif Malaysia (MHPCC) dan Persatuan Pendidikan Perubatan IKN (PPPIKN) juga dengan kerjasama pelbagai rakan strategik.
Bertemakan `Seiring dan Sejalan: Dekat di Hati, Sentiasa di Sisi’, program ini menekankan nilai kasih sayang, maruah dan keselesaan dalam penjagaan pesakit melalui pendekatan paliatif yang holistik dan berperikemanusiaan.
Melalui pelancaran ‘Atlas of Palliative Care 2025’ di Kuching baru-baru ini, Malaysia kini tersenarai dalam kategori kedua tertinggi sebagai negara dengan pembangunan rawatan paliatif yang mapan.
Negara ini turut menduduki tempat ke-sembilan daripada 41 negara di rantau Asia Pasifik — satu pencapaian membanggakan dalam memperkukuh sistem penjagaan akhir hayat.
Sambutan pada hari ini turut menyaksikan pelancaran dokumen `National Standards for Palliative Care”, hasil usaha kolektif Jawatankuasa Standard Rawatan Paliatif Kebangsaan dengan penglibatan pelbagai pihak merangkumi sektor awam, swasta, NGO, pesakit, dan penjaga.
Dokumen ini menetapkan visi dan piawaian bersama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan rawatan paliatif yang berkualiti, konsisten, dan berfokus kepada pesakit di
semua peringkat. – MalaysiaGazette















