Datuk Seri Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengetuai senarai 1,372 penerima Anugerah Kebesaran Negeri Sarawak sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-79, hari ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran Datuk Amar.

Turut menerima anugerah tertinggi negeri ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, Datuk Richard Wee Liang Chiat, yang masing-masing dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S), membawa gelaran Datuk Seri.

Lima lagi tokoh menerima Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II, Datuk Majang Renggi dan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datu Ik Pahon Joyik.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Adana Jed mengetuai sembilan penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S) yang membawa gelaran Datu.

Seramai 22 individu dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) yang membawa gelaran Datuk.

Majlis penganugerahan itu merupakan penghormatan tertinggi kepada individu yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast