JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) merupakan antara projek kesihatan paling penting di negeri ini bagi menampung pertambahan pesakit dan mengurangkan kesesakan sedia ada.
Sehubungan itu, pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pembinaan HSA 2 dalam Belanjawan 2026 semalam memberi kelegaan kepada Kerajaan Johor yang lama menantikan pelaksanaan projek berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.
“Kita menyambut baik pengumuman ini dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana memberi keutamaan kepada HSA 2. Ia memberi kelegaan kepada kerajaan negeri dan rakyat Johor kerana projek ini memang telah lama ditunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Operasi Mega Selamat Paru-Paru Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.
Menurut Tian Soon, kerja awalan projek tersebut telah pun siap pada Ogos lalu termasuk semakan tanah, reka bentuk dan sesi bengkel bagi menentukan keperluan fasiliti serta anggaran kos.
“Maklumat awal semua telah lengkap. Jadi kita berharap proses pelaksanaannya dapat dimulakan pada tahun hadapan seperti yang diumumkan.
“Pelaksanaan pembinaan projek ini mungkin memakan masa lebih tiga tahun,” ujarnya.
Sejak 2023, kerajaan negeri mengharapkan HSA 2 akan dibina, jika diluluskan kerajaan dan dibentangkan dalam Belanjawan 2026.
Cadangan pembinaan HSA 2 melibatkan kawasan seluas kira-kira 28 hektar yang dicadangkan Kementerian Pertahanan di Taman Nesa, Skudai di sini.
Pembinaan HSA 2 dilihat penting bagi mengatasi kesesakan di dua hospital di bandar raya ini iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata, kerajaan akan menyegerakan pembinaan Pusat Kanser di Kuching dan HSA 2 di Johor.- MalaysiaGazette
















