Azizee.

BUKIT MERTAJAM – Seorang jurujual kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan permainan dalam talian menerusi laman web sandsm2s5.club yang diiklankan di Facebook.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berusia 34 tahun itu tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini bagi membuat laporan berhubung kejadian.

Katanya, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Bukit Mertajam dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sebanyak 50 peratus dalam tempoh masa singkat.

“Pada 3 September lalu, mangsa telah membuat transaksi pertama berjumlah RM300,000 ke dalam akaun sebuah syarikat tempatan.

“Seterusnya, antara 10 September hingga 9 Oktober, mangsa membuat tujuh transaksi lagi berjumlah RM727,000 ke dalam lima akaun bank syarikat berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azizee, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila tidak dapat mengakses laman web berkenaan selain nombor telefon suspek juga gagal dihubungi.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan sama Azizee turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan dalam talian serta membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pelaburan.

“Berdasarkan kes ini, amat mustahak untuk kita bekerjasama bagi memerangi kes penipuan dalam talian, terutamanya penipuan pelaburan yang semakin berleluasa melalui media sosial pada masa kini.

“Setiap individu perlu memainkan peranan sebagai penyebar mesej kesedaran jenayah komersial agar kita dapat membentuk sebuah komuniti yang selamat dan bebas daripada menjadi mangsa scammer,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast