KUALA LUMPUR – Kerangka produk asas insurans/takaful perubatan dan kesihatan akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2025 dengan pelancarannya dijangka pada tahun 2027.
Bank Negara Malaysia (BM) berkata, ia mengalu-alukan pengumuman mengenai langkah-langkah untuk membantu menangani inflasi kos perubatan serta perlindungan perubatan.
Kerajaan dan industri telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan kesihatan.
Dalam pada itu, BNM berkata, program iTEKAD yang mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta kepada geran padanan untuk inisiatif kewangan sosial bertujuan memperkukuh daya tahan dan keupayaan kewangan golongan sasaran supaya mereka dapat meneruskan dan meningkatkan mata pencarian mereka.
Menurutnya, iTEKAD kini telah diperluas untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan mudah terjejas, bukan sahaja menggalakkan keusahawanan dan meningkatkan perlindungan.
iTekad adalah program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.
Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.
BNM berkata, dana ini akan dipadankan dengan dana kewangan sosial seperti derma (termasuk
sumbangan tanggungjawab sosial korporat), zakat serta wakaf tunai.
Butiran lanjut akan diumumkan kemudian. – MalaysiaGazette















