KUALA LUMPUR – Pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 ke atas yuran penjagaan anak yang dihantar ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak (PJKK) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, malah turut mengiktiraf peranan penting PJKK berdaftar dalam pembangunan sosial dan penjagaan kanak-kanak di Malaysia.
Pengasas dan Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia (PPJKKM), Simon Ng berkata, insentif cukai ini selari dengan keperluan sebenar ibu bapa masa kini dan mencerminkan pendekatan kerajaan yang prihatin dan berpandangan jauh dalam Belanjawan 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), serta Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah JKM dan seluruh pegawai yang terlibat atas usaha mereka dalam memperjuangkan kebajikan PJKK berdaftar di Malaysia.

“Kerajaan memahami keperluan ibu bapa untuk mendapatkan Pusat Jagaan Kanak-Kanak berdaftar bagi anak-anak berusia 12 tahun ke bawah selepas waktu sekolah.
“Melalui pelepasan cukai ini, ibu bapa bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan, malah turut digalakkan memilih PJKK berdaftar dengan JKM, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta kualiti perkhidmatan pusat-pusat jagaan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelepasan cukai ini dijangka memberi manfaat berganda, selain ibu bapa kini boleh bekerja dengan lebih tenang kerana anak-anak mereka berada di persekitaran jagaan yang selamat, terkawal dan berkualiti.
Sementara PJKK berdaftar pula mendapat pengiktirafan sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang sah, profesional dan dipercayai, ujar Simon. – MalaysiaGazette
















