PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan masih menyiasat punca sebenar kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Sarawak meskipun ujian makmal menunjukkan jangkitan positif Influenza A.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, komplikasi utamanya adalah radang otak yang boleh berpunca daripada virus lain.
“Ujian makmal menunjukkan positif Influenza A, tetapi komplikasi utamanya ialah radang otak akibat ensefalitis.
“Namun, keadaan ini juga boleh disebabkan oleh beberapa virus lain, jadi punca kematian tidak boleh dikaitkan sepenuhnya daripada Influenza A,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulkefly meminta orang ramai menunggu keputusan siasatan akhir sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Dzulkefly menyatakan demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Subkepakaran Perubatan Paliatif KKM, Dr. Fazlina Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran di Facebook berkaitan kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Sadong Jaya yang didakwa meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1).
Menerusi hantaran itu, individu dipercayai waris meluahkan rasa sedih atas pemergian anaknya dan setakat semalam, tiada pengesahan rasmi berhubung laporan itu.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kebanyakan kes melibatkan simptom yang ringan dan terkawal meskipun penularan wabak sedikit membimbangkan.
Ujarya, secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan mengesan 116 wabak dan 97 kluster Influenza A di seluruh negara setakat ini.
“Kes Influenza A ini tidak boleh diambil mudah, tetapi masyarakat juga tidak perlu panik. Yang penting, mereka yang bergejala perlu memakai pelitup muka, menjaga kebersihan tangan dan mengelak daripada berada di tempat sesak. Ini langkah paling asas untuk melindungi diri dan orang lain,” katanya.
Menurutnya, KKM akan terus menjalankan pemantauan rapi melalui pengawasan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di seluruh negara.
“KKM juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memantau situasi di sekolah serta memberikan panduan berkaitan langkah kawalan dan pencegahan.
“Keputusan berkaitan operasi sekolah bukan di bawah kuasa KKM, namun kita sentiasa memberikan nasihat dan maklumat terkini kepada KPM mengenai tahap keseriusan kes Influenza di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















