Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

MELAKA – Empat pelajar lelaki Tingkatan 5 yang disyaki terlibat kejadian rogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini.

“Kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 16 Oktober 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.

“Kes menimpa pengadu berusia 15 tahun masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, S.R. Arthana.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir itu berlaku kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.

Mangsa dipercayai diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek, manakala dua lagi rakan mereka menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.

Kejadian terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.

Kes berkenaan mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan penjelasan segera berhubung kejadian itu yang disifatkannya amat serius.

Ahli Parlimen Putrajaya dari Bersatu itu memberi reaksi demikian menerusi status yang dimuat naik di Facebook rasminya pagi ini sambil menyertakan laporan ekslusif MalaysiaGazette hari ini.

Kejadian menggemparkan negara ini mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata mendesak kerajaan mengambil langkah segera membendung jenayah itu di sekolah. – MalaysiaGazette

Pelajar dirogol bergilir-gilir senior calon SPM dalam kelas, 4 direman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast