MELAKA – Kementerian Pendidikan akan memberikan sokongan emosi kepada pelajar yang disyaki menjadi mangsa rogol berkumpulan di sebuah sekolah di sini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelajar perempuan Tingkatan Tiga itu kini menerima rawatan di sebuah hospital juga mendapat skokongan emosi daripada kakitangan perubatan.
“Mangsa pula masih dirawat dihospital, kita bagi sokongan penuh psikososial,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mendengar dua sesi taklimat hampir dua jam mengenai perkembangan kes itu di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Bukit Beruang di sini pagi tadi.
Ditanya apakah keperluan lain di sekolah yang diperlukan untuk mengelak kejadian berulang, Fadhlina perkata, perkara itu ada dibincangkan dalam taklimat hari ini.
“Ya itu yang kita bincangkan sebenar tadi, setakat ini adalah sokongan psiko-sosial kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak.
“Tumpuan kita kerana sekolah ini adalah (antara) sekolah terbaik di Melaka jadi kita bagi tumpuan penuh kepada guru yang mengajar SPM dan anak-anak yang akan mengambil peperiksaan SPM supaya tidak terganggu kes ini,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, dalam pertemuan khas itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga bersetuju mengambil langkah intervensi menyeluruh menangani kes salah laku pelajar daripada terus berulang.
“Kita juga mohon masyarakat faham bahawa kes ini termasuk di bawah bidang undang-undang kanak-kanak, dan setiap maklumat peribadi mereka perlu dilindungi,” tegasnya. –
Sementara itu ditanya mengenai empat suspek yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fadlina berkata, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan 3 November ini.
Katanya, segala tindakan undang-undang dalam kes itu akan ditumpukan pihak polis dan KPM akan menguruskan aspek disiplin, ekosistem sokongan sekolah termasuk masa depan pendidikan pelajar.
“Ya, SPM (keempat-empat) suspek akan diteruskan…3 November masih akan ambil SPM dan kita akan pastikan juga dalam soal itu supaya mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan mereka.

Hadir sama Ketua Pengarah KPM, Dr Mohd Azam Ahmad, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar. – MalaysiaGazette
















