KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menganjurkan Pertandingan Akhir Mahir Masak Peringkat Kebangsaan Cooking Star bagi pengambilan pertama (2024/2025) yang berlangsung di IPTSkills TVET College, Mutiara Damansara semalam.
Ia merupakan sebahagian daripada program Perkhidmatan Pintar NADI di bawah teras Pembelajaran Sepanjang Hayat yang bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang kemahiran dan membuka peluang peningkatan sosioekonomi kepada ahli NADI di seluruh negara.

Sebanyak 201 permohonan diterima dan selepas beberapa peringkat saringan peringkat negeri, 10 finalis terbaik telah dipilih untuk berentap di peringkat akhir kebangsaan.
Majlis penyampaian hadiah dan penghargaan yang diadakan di Royale Chulan Damansara pada sesi petang turut meraikan peserta Mahir Masak, Ahmad Salimie, pemenang Pingat Gangsa (Bronze Medal) dalam Culinary World Cup yang berlangsung di Ipoh, Perak; Alumni Mahir Foto, yang menjuarai Malaysia Unity Short Film Festival; serta Alumni Mahir Pertanian Pintar iaitu Jeffree Sharizal Abd Aziz; Lee Xian Yu dari Pulau Tioman serta Puan Azizah Mohd Isa dari Kedah yang berjaya memperkasa perusahaan tani masing-masing melalui penggunaan teknologi digital dan peranti IoT.
Dalam majlis yang sama, NADI Mahir turut memperkenalkan dua projek baharu di bawah jenama LOCCA dan RASSAR, masing-masing bagi penghasilan Uniform Sekolah Perempuan dan Biskut Cookies.
Melalui inisiatif yang sama, alumni program Mahir Jahit dan Mahir Masak dari seluruh negara diberi peluang menjana pendapatan dengan bekerja di Bengkel NADI Jahit dan Bengkel NADI Masak yang dikendalikan di bawah program tersebut, kata satu kenyataan.
Projek berkenaan menjadi titik permulaan kepada pembangunan industri desa berasaskan kemahiran tempatan, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.
Inisiatif itu turut membuktikan keberkesanan program Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam membuka peluang baharu, memperkasa masyarakat dan meningkatkan taraf hidup rakyat peringkat akar umbi.
Turut hadir memeriahkan majlis Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr. Mohd Arif Adenan, Pengerusi Kumpulan Syarikat MSD Alliance, Tan Sri Halim Shafie, wakil DUSP yang terdiri dari TM Tech, Maxis, CelcomDigi dan RedTone, wakil-wakil Technology Partners (TP), rakan strategik dan kolaborasi, pakar industri serta Alumni Mahir dari seluruh negara. – MalaysiaGazette
















