Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil. - Foto: JAKIM.

KUALA LUMPUR – Penyebaran video atau rakaman yang memaparkan perlakuan rogol adalah diharamkan sama sekali dalam Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, tindakan itu bukan sahaja membuka aib dan menambah trauma mangsa dan keluarga, malah tergolong sebagai dosa besar kerana menyebarkan kezaliman dan kemungkaran.

Tegas beliau, Islam menegaskan kewajipan menjaga maruah manusia dan melarang penyebaran bahan lucah dalam apa jua bentuk, apatah lagi jika dilakukan semata-mata untuk meraih tontonan dan kunjungan yang tinggi.

“Sebarang video sedemikian hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dihapuskan segera, bukan disebarkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dirogol bergilir-gilir empat pelajar seniornya dalam kejadian pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lepas, dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka.

Lebih menjijikkan, perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.

Susulan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa semua pihak supaya tidak terus menyebarkan rakaman kejadian itu kerana melibatkan individu di bawah umur dan telah meminta kerjasama daripada kementerian berkaitan untuk bertindak segera bagi memastikan isu itu tidak terus ditularkan.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengingatkan tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast