KUALA LUMPUR – Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mengesan enam bungkusan mencurigakan yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja dalam satu operasi di Cawangan Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) semalam.
AKPS dalam kenyataan memaklum, bungkusan berkenaan dikesan hasil pemeriksaan imbasan menerusi mesin X-ray sebelum pemeriksaan fizikal lanjut dilakukan.
“Hasil pemeriksaan menemui bahan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat kasar keseluruhan sebanyak 6.877 kilogram,” katanya.
Kesemua rampasan tersebut telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Jelas AKPS, kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKDM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus diperkukuh menerusi pemantauan bersepadu di LTAKK bagi membanteras aktiviti penyeludupan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri atau menjadi ejen penghantaran kepada mana-mana bungkusan yang mencurigakan,” ujarnya.
AKPS menegaskan, kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk utama negara akan terus dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah, barangan terlarang serta jenayah rentas sempadan. – MalaysiaGazette
















