Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon membatalkan saman pemula difailkan peguam P. Waytha Moorthy yang mencabar pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2022.

Perdana Menteri memfailkan permohonan itu pada 10 Oktober lalu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, melalui Tetuan Daniel & Wong.

Dalam notis permohonan itu, Anwar menyatakan, Waytha melanggar Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa keputusan pilihan raya hanya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya.

Menurut Perdana Menteri, peguam itu juga melanggar Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana tidak dikemukakan di hadapan hakim pilihan raya.

Ujar beliau, saman tersebut pada asasnya mencabar keputusan Pilihan Raya 2022 bagi kerusi Parlimen Tambun yang dimenanginya.

P. Waytha Moorthy

Anwar turut menyatakan, saman itu secara jelas tidak dapat dipertahankan, tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah terhadap beliau, bersifat remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Beliau memohon supaya semua prosiding saman itu digantung sementara menunggu keputusan terhadap permohonan pembatalannya.

Dalam perkembangan sama, Waytha memohon Mahkamah Tinggi merujuk dua persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan, melibatkan isu pengampunan diraja dan pengecualian daripada larangan lima tahun bertanding.

Permohonan itu difailkan pada 6 Oktober lalu oleh peguam Karthig Shan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Kehakiman 1964.

Kedua-dua permohonan dijadualkan untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi pada 28 Oktober ini.

Pada 12 Ogos lalu, media melaporkan, Waytha memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Waytha Moorthy menyatakan, Anwar bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Tambun pada 19 November 2022, walhal tempoh kehilangan kelayakannya masih berkuatkuasa selama lima tahun (16 Mei 2018 hingga 15 Mei 2023).

Beliau yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia menyatakan, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa material pencalonan dan pemilihan, tempoh kehilangan kelayakan selama lima tahun yang ditetapkan di bawah Perkara 48(1)(e), dibaca bersama Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan masih berkuat kuasa.

“Perkara 48(3) seterusnya memperuntukkan bahawa kehilangan kelayakan sedemikian boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah, jika tidak dibatalkan, diteruskan selama tempoh lima tahun dari tarikh pembebasan.

“Dalam hal ini, tiada pembatalan secara nyata terhadap kehilangan kelayakan dilakukan Seri Paduka mengikut Perkara 48(3), dan ini menyebabkan defendan tidak layak bertanding pada PRU15 sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast