KUALA LUMPUR – Program Bengkel Usahawan MARA bersama Penggiat Seni dan Koperasi Rakaman Muzik Berhad (Kop Irama) berjaya mencapai matlamatnya.
Baru-baru ini program anjuran MARA Selangor dengan kerjasama Koperasi Irama itu menghimpunkan para artis, penyanyi, pelakon, DJ radio, pelukis serta penggiat seni tanah air dalam satu platform pembelajaran keusahawanan yang bertujuan memperkasa ekonomi warga industri hiburan dan kreatif.
Sepanjang bengkel tersebut, peserta dibimbing oleh Coach Roszie Amir bersama barisan Ahli Jawatankuasa Koperasi Irama dengan perkongsian ilmu praktikal mengenai asas keusahawanan, pengurusan kewangan, strategi pemasaran dan peluang kerjasama dengan agensi kerajaan.
Presiden Konsortium Irama, Ayob Abd Majid turut menzahirkan penghargaan kepada pihak MARA Selangor atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap komuniti seni.
“Inisiatif seperti ini memberi semangat baharu kepada penggiat seni untuk berdiri atas kaki sendiri sebagai usahawan dan pencipta peluang pekerjaan, bukan hanya penghibur di pentas,” ujarnya dalam kenyataan.
Ayob turut menyarankan agar lebih banyak agensi kerajaan tampil menjalin kolaborasi strategik dengan koperasi dan organisasi seni tempatan demi memartabatkan ekonomi penggiat seni seiring pembangunan negara.
Program itu diakhiri dengan sesi penyampaian sijil kepada semua peserta disampaikan oleh Ayob dan Sheikh Qalam bagi pihak Koperasi Irama sebagai simbol penghargaan atas komitmen dan penyertaan mereka. – MalaysiaGazette
















