KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa golongan muda menyokong usaha kerajaan melawan dan membanteras rasuah dalam negara.
Perdana Menteri berkata, melawan dan membanteras rasuah merupakan salah satu asas kepada tata kelola yang baik dalam pentadbiran negara.
“Inilah sebabnya saya sering bercakap tentang pentingnya tata kelola yang baik. Kepimpinan mesti bersih dan menghentikan perkara tidak masuk akal ini iaitu rasuah di negara kita.
“Saya perlukan sokongan anak muda. Kamu mesti menjadi peneraju. Katakan tiada lagi rasuah di negara ini, tiada penyeludupan, tiada sindiket. Kepimpinan mesti bersih dan kita mesti hentikan semua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Anwar, kepimpinan yang berprinsipkan kepada kebertanggungjawaban dan amanah merupakan asas penting dalam memastikan kemajuan dan pembangunan negara dapat dipertahankan.
Jelasnya, ia sekali gus dapat memastikan rakyat dapat merasai manfaat daripada hasil negara.
Terdahulu, Anwar menegaskan bahawa tindakan kerajaan menguatkuasakan subsidi bersasar RON95 adalah untuk menghentikan kartel penyeludupan dan penyelewengan.
Katanya, dalam masa sama hasil penjimatan subsidi disalurkan kepada rakyat.
“Ini bukan soal RM100 juta, tetapi berbilion ringgit. Wang itu mesti diambil semula oleh kerajaan dan dibelanjakan untuk rakyat untuk pendidikan dan untuk anak muda,” katanya.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan bahawa kerajaan bersikap tidak adil apabila menaikkan kadar tarif elektrik, sebaliknya langkah tersebut hanya melibatkan golongan berpendapatan tinggi dan syarikat besar.
“Isu tarif elektrik ini menjadi besar. Katanya PMX zalim, naikkan harga tarif kepada rakyat. Tapi sebenarnya 85 peratus rakyat tidak terkesan langsung, kerana mereka tidak membayar kadar yang dinaikkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















