Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menegur pihak-pihak dalam kes saman SRC International Sdn. Bhd. melibatkan Datuk Seri Najib Razak kerana gagal merancang penyediaan saksi-saksi secara teratur untuk memberi keterangan pada perbicaraan hari ini.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menyatakan demikian selepas saksi kedua plaintif, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital semalam akibat serangan Influenza A.

Mahkamah turut diberitahu, saksi pihak ketiga, Datuk Suboh Md. Yassin yang sepatutnya memberi keterangan, juga tidak dapat hadir pada waktu pagi kerana berada di Johor.

Shamsul Anwar ketika itu merupakan Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. manakala Suboh adalah bekas Pengarah SRC International.

“Jika pihak-pihak ada masalah, saksi-saksi tetap perlu bersedia hadir ke mahkamah. Walaupun saksi berkenaan berada di Hawaii sekalipun, saksi lain perlu bersedia memberi keterangan,” ujarnya.

Mahkamah sepatutnya mendengar perbicaraan saman SRC International dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn. Bhd. terhadap bekas Perdana Menteri untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, prosiding kes yang sepatutnya bermula Januari lalu telah tertangguh agak lama dan hanya bermula pada Ogos lalu.

Ujar beliau, mahkamah ketika itu memberi laluan kepada perbicaraan kes jenayah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang telah berpindah ke Mahkamah Rayuan.

Menurut hakim berkenaan, pihaknya juga memberi laluan kepada perbicaraan satu lagi kes saman SRC International di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin selepas kedua-dua plaintif dan defendan memfailkan petisyen bersama untuk menangguhkan kes.

Terdahulu, peguam Kwan Will Sen yang mewakili SRC International memberitahu, pihaknya sudah mengemukakan surat semalam bagi memaklumkan keadaan saksi yang dimasukkan ke Hospital Shah Alam kerana menghadapi komplikasi jantung akibat Influenza A.

Sementara itu, peguam Lim Sze Han memaklumkan Suboh masih berada di Johor dan hanya bersedia memberi keterangan pada waktu tengah hari.

Bagaimanapun, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, beliau tidak berkelapangan kerana mempunyai prosiding berkaitan 1MDB pukul 4 petang.

Sehubungan itu, beliau menetapkan perbicaraan disambung pada 6 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast