Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad bercakap kepada media mengenai perkembangan kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka ketika di Bangunan Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan lebih 6,000 pelajar sekolah yang dijangkiti influenza sejak kes jangkitan wabak itu melonjak di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, para pelajar yang dijangkiti wabak tersebut melibatkan beberapa sekolah di seluruh negara hingga berlaku penutupan institusi pendidikan itu.

“Ada sekolah yang ditutup. Setakat hujung minggu lepas, kita lebih kurang yang melibatkan anak-anak kita yang berhadapan dengan influenza ini adalah 6,000 orang tapi dia bukanlah sekolah-sekolah yang berbeza dan sebagainya.

“Yang sekarang ini berlaku penutupan, ada sekolah di Johor, penutupan itu pun berlaku atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

“Kita tak ada masalah dan kita gembira dapat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah untuk langkah bagi memastikan sekolah kita ini dalam keadaan selamat,” katanya pada sidang media di KPM, di sini, hari ini.

Menurut Azam, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk menguatkuasakan pemakaian pelitup muka dan melaksanakan penjarakan sosial sebagai langkah pencegahan awal.

“Kita ada pengalaman panjang dengan Covid-19 malah kita memang sudah ada garis panduan dalam berhadapan wabak seperti influenza.

“Kita sudah minta sekolah menggalakkan anak-anak atau warga sekolah kita menggunakan pelitup muka, mengurangkan aktiviti yang melibatkan murid-murid berinteraksi secara beramai.

“Tapi pada masa yang sama, saya dah minta semua sekolah kita, IPGM, kolej matrikulasi dan juga kolej vokasional merujuk panduan-panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dan juga pejabat kesihatan daerah,” katanya.

Kata Azam, KPM akur kepada arahan Kementerian Kesihatan atau pun pejabat kesihatan daerah sekiranya memerlukan SOP dibuat termasuk sehingga penutupan sekolah dan institusi pendidikan.

“Apabila nasihat itu diberikan oleh Kementerian Kesihatan ataupun Jabatan Kesihatan Negeri atau pun Pejabat Kesihatan Daerah, kalau dia arahkan kami tutup, sekolah itu ditutup, kami akan akur,” katanya.

Ditanya tentang penutupan sekolah yang terlibat dengan musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azam memberitahu, pihak sudah bersedia ke arah itu.

“Saya sudah minta pegawai di peringkat Lembaga Peperiksaan untuk bersedia dengan cabaran-cabaran ini sebab SPM kita akan bermula pada 3 November nanti. Jadi tindakan-tindakan awal ini telah kita rancang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast