KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menempelak Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang membangkitkan siapa calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bangkit mencelah dan beberapa kali bertanyakan soalan itu ketika Hamzah sedang membahaskan Belanjawan 2026.
Soalan Poay Tiong itu menyebabkan sesi Dewan Rakyat kecoh seketika apabila beberapa Ahli Parlimen PN melahirkan rasa tidak puas hati kerana beranggapan ia tidak relevan dengan perbahasan Belanjawan 2026 oleh Hamzah.
Hamzah (PN-Larut) yang pada awalnya tidak mengendahkan pertanyaan Poay Tiong itu bagaimanapun memberi maklum balas selepas soalan tersebut terus dibangkitkan sehingga turut menyaksikan campur tangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau.
“Okay saya jawab…sila duduk (Kota Melaka).
“Kalau nak tahu kami di sini (Ahli Parlimen pembangkang) semua sudah tahu siapa calon Perdana Menteri kami.
“Kalau Kota Melaka nak tahu, sila masuk ke Perikatan Nasional,” katanya sambil disambut dengan sorakan Ahli Parlimen pembangkang lain.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Poay Tiong berkata, jawapan yang diberikan Hamzah berkenaan menunjukkan semua di dalam PN sebenarnya tidak mengetahui siapa calon Perdana Menteri mereka.
Menjawab kepada kenyataan itu, Hamzah berkata, sekali pun beliau menyatakan nama calon Perdana Menteri, Poay Tiong juga tidak akan mengundi PN.
“Jadi tidak payah sibuklah, ini kerja kami,” katanya.
Sebelum ini, isu calon Perdana Menteri daripada PN mencetuskan kontroversi selepas Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluluskan usul menamakan Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun, keputusan itu dipertikai beberapa pemimpin Pas yang disifatkan melangkaui persetujuan Majlis Presiden PN, selain turut mengangkat beberapa nama daripada parti tersebut yang juga layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri. – MalaysiaGazette
















