KUALA LUMPUR – Seorang pekerja am warga asing yang maut selepas terkena renjatan elektrik di tapak pembinaan di Petaling Jaya, Selangor pada 11 Oktober lalu, sekitar jam 8.45 pagi.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati sebelum hari kejadian, didapati lori melakukan kerja-kerja pengalihan tanah dan semasa kerja-kerja dijalankan, bucket lori telah berlanggar dengan kabel elektrik yang menyebabkan ia terputus dan terdedah.
Pada hari kejadian, mangsa telah melalui kawasan tersebut dan secara tiba-tiba mangsa cuba mengalihkan kabel yang luka dengan tangan kosong dan seterusnya mangsa telah terkena renjatan elektrik dan tidak sedarkan diri.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya.
Susulan daripada siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian sehingga siasatan selesai.
Notis Larangan turut dikeluarkan bagi kerja-kerja pengalihan tanah. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Di bawah akta ini, hukuman maksimum terhadap majikan adalah sebanyak RM 500,000.00 jika disabit kesalahan.
Tindakan perundangan boleh dikenakan terhadap majikan sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.
Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja. Majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.
Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.
Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – MalaysiaGazette
















