GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah menahan seorang pesara tentera bagi membantu siasatan menerima rasuah RM405,000 membabitkan penjualan lima unit pangsapuri Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di negeri ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM negeri, di sini.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek meminta dan menerima wang rasuah itu daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan menjual lima pangsapuri yang juga aset PVATM dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
“Kejadian berlaku pada 2015. Suspek juga dipercayai telah menerima wang berjumlah RM405,000 itu melalui 12 transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth,” katanya. – MalaysiaGazette
















