KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli yang sedang dirangka kerajaan akan memperluaskan skop perlindungan terhadap mangsa termasuk membabitkan elemen buli siber dan mekanisme tribunal khas bagi menangani kes di luar bidang kuasa sekolah.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Thiyagu Ganesan pada sesi Townhall Antibuli: Nation Building and Future Resilience Youth & Bullying sempena program iFuture 2025 hari ini.
Sesi tersebut dipengerusikan oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menekankan kepentingan melibatkan suara belia dalam pembentukan dasar baharu berkaitan undang-undang anti-buli negara.
Menurut Thiyagu, RUU itu akan menyepadukan pelbagai bentuk buli termasuk siber, sejajar dengan pengalaman beberapa negara seperti Filipina, Jepun dan Finland.
“Definisi buli akan diperluas bagi merangkumi tindakan berbeza termasuk buli siber, selaras dengan kajian perbandingan yang dijalankan pasukan perundangan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan masih meneliti sama ada undang-undang itu akan menumpukan kepada pelajar bawah umur 18 tahun atau turut melibatkan pelajar universiti.
Thiyagu menjelaskan, RUU berkenaan akan memperkenalkan struktur pelaporan berlapis melibatkan jawatankuasa di institusi pendidikan sebagai peringkat pertama sebelum kes berat dibawa ke tribunal.
“Bukan semua kes akan sampai ke tribunal. Hanya jika mangsa merasakan tiada tindakan diambil atau kejadian berlaku di luar bidang kuasa sekolah, barulah kes boleh dirujuk terus ke tribunal,” katanya.

Sementara itu, Finalis Anugerah Tokoh Siswa Negara, Nur Atiqah Azrein menyeru golongan belia agar menggunakan media sosial sebagai wadah memperjuangkan kesedaran dan membantu mangsa buli.
“Gunakan kekuatan anda. Jangan berdiam diri. Walaupun hanya satu kisah atau satu hantaran, ia boleh menjadi kekuatan yang sangat besar,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa bentuk buli kini turut berlaku secara dalam talian menerusi penghinaan dan pendedahan identiti atau doxing yang kini boleh disiasat di bawah Seksyen 507B dan 507G Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Kamarudin Johari memberitahu, perjuangan membanteras buli mesti bermula dengan pemahaman bersama terhadap maksud sebenar perbuatan itu.
“Setiap orang mungkin mempunyai tafsiran berbeza, jadi penting untuk kita selaraskan definisinya supaya dasar dan tindakan undang-undang lebih jelas,” katanya.
Beliau turut menyokong pendekatan pemulihan terhadap pelaku buli agar mereka memahami kesan perbuatan serta diberi peluang memperbetulkan kesilapan.
Program townhall antibuli ini berjaya menghimpunkan ratusan pelajar dari pelbagai universiti seluruh negara sebagai platform dialog antara generasi muda dan pembuat dasar ke arah melahirkan masyarakat lebih berempati, bertanggungjawab dan bebas daripada budaya buli. – MalaysiaGazette
















