Young Tigers mengikat Australia 1-1 dalam SOJC 2025 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam. - Foto ihsan Malaysian Hockey Confederation

JOHOR BAHRU – Kejayaan skuad hoki negara, Young Tigers mengikat Australia 1-1 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 semalam, dilihat meningkatkan lagi keyakinan untuk berdepan pasukan New Zealand, Black Sticks, di sini, esok.

Pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pihaknya sudah bersedia bagi aksi ketiga kejohanan berkenaan di Stadium Hoki Taman Daya, di sini.

Keyakinan itu katanya, setelah menyaksikan aksi dipamerkan anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan ketika mengikat skuad Burras itu.

“Saya rasa mereka (New Zealand) lebih kurang sama seperti Australia, mungkin tidak tajam seperti Australia, tetapi seperti Australia, saya melihat mereka suka untuk mengalahkan pemain secara terus.

“Justeru, kami perlu menggunakan ruang, dan cepat mengeluarkan bola dari tepi dan saya rasa itu yang kami boleh, nanti kami akan tengok (perbaiki) lagi.

“Cuma yang jelas, kami perlu pandai dalam pertahanan pukulan sudut penalti kerana itu adalah kelemahan kami,” katanya dalam sidang akhbar menjelang aksi berdepan New Zealand, di sini.

Young Tigers yang tumpas 2-7 kepada Pakistan pada aksi sulung semalam, mengejutkan Australia pada minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azimuddin Shakir Kamaruddin.

Bagaimanapun, Australia yang mencatatkan kemenangan 4-0 ketika berdepan New Zealand pada aksi sulung semalam, dilihat mula memperkemaskan corak permainan hingga berjaya menyamakan kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan apabila Ian Grobbelaar pada minit ke-47.

Sementara itu, Nor Saiful berkata, kecederaan dialami Azimuddin Shakir tidak serius dan pemain berkenaan berkemungkinan boleh beraksi berdepan New Zealand.

“Saya rasa dia mengalami kecederaan kecil, benjolan kecil pada tulang, bukan cedera otot. Tidak serius. Saya rasa tidak serius.

“Hari ini satu hari rehat dengan ais. Tapi saya pun tidak nampak kecederaannya, tapi saya nampak apa yang dia alami adalah benjolan kecil akibat terkena kayu.

“Itu saya rasa satu hari dia boleh pulih, Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast