Sebuah kenderaan polis yang dipercayai membawa mangsa yang terbunuh berikutan insiden kes bunuh di SMK Bandar Utama Damansara 4, Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 14 OKTOBER 2025

PETALING JAYA – Tragedi pelajar perempuan tingkatan empat maut dipercayai ditikam pelajar lelaki tingkatan dua dalam tandas di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama hari ini mencetuskan suasana panik dan cemas dalam kalangan ibu bapa.

MalaysiaGazette yang berada di lokasi menyaksikan keadaan tegang serta cemas dengan rata-rata ibu bapa serta penjaga bergegas membawa pulang anak masing-masing selepas dimaklumkan insiden itu sekitar jam 10 pagi tadi.

Beberapa pelajar dilihat menangis ketika keluar dari pintu utama, manakala polis dan pegawai keselamatan sekolah mengawal ketat kawasan berkenaan.

Seorang bapa pelajar yang enggan dinamakan berkata, beliau terkejut selepas menerima mesej daripada pihak sekolah yang meminta semua ibu bapa datang segera mengambil anak masing-masing pulang berikutan satu insiden serius berlaku di sekolah itu.

“Saya terkejut dan terus bergegas ke sekolah selepas dapat mesej kira-kira jam 10 pagi. Dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa, kami diberitahu berlaku kes bunuh melibatkan pelajar. Semua orang panik,” katanya ketika ditemui di luar kawasan sekolah.

Ibu bapa pelajar sekolah mengambil anak masing-masing susulan insiden kes pelajar lelaki tingkatan dua menikam pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 14 OKTOBER 2025

Menurutnya, perbincangan dalam kumpulan WhatsApp itu turut disertai gambar pisau ‘Rambo’ yang didakwa digunakan oleh suspek, menyebabkan ramai ibu bapa bertambah bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka.

“Gambar pisau Rambo yang dikatakan digunakan suspek pun sudah tersebar dalam group ibu bapa. Itu yang buat semua lagi cemas dan takut. Kami tak sangka perkara macam ini boleh berlaku di sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata, ada ibu bapa lain mendakwa suspek berusia 14 tahun itu hadir ke sekolah seperti biasa pagi tadi, namun memakai sarung tangan seolah-olah sudah merancang sesuatu.

“Ada yang nampak pelajar itu pakai glove tapi tak syak apa-apa. Katanya kejadian berlaku sekitar jam 9 lebih, dan jam 10 pihak sekolah sudah arahkan ibu bapa datang ambil anak. Semuanya berlaku sangat cepat,” katanya lagi.

Bapa itu turut melahirkan rasa sedih kerana kejadian tragis itu berlaku di sekolah yang selama ini dianggap ant ara institusi berprestasi tinggi di kawasan Bandar Utama.

“Kami harap pihak berkuasa siasat secara menyeluruh dan pihak sekolah tingkatkan kawalan keselamatan supaya pelajar lain tidak trauma,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat, manakala suspek berusia 14 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast