KUALA LUMPUR – Malaysia dan Kemboja akan memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pertanian, ekonomi digital dan pelancongan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan dipersetujui pada sesi perbincangan bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Presiden Senat yang juga bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen di Kemboja.
Tambahnya, Malaysia dan Kemboja juga berhasrat mengukuhkan aspirasi bersama untuk memupuk keamanan dan kestabilan serantau dengan menyambut baik kemajuan dalam memuktamadkan penubuhan Pasukan Operasi ASEAN (AOT).
AOT adalah satu mekanisme serantau bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur akan datang.
“ASEAN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memainkan peranan penting dalam memudah cara pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
“Penubuhan AOT akan menjadi mekanisme utama bagi memastikan perjanjian gencatan senjata dilaksanakan seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya dalam rakaman video selepas lawatan rasmi di Kemboja, hari ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Kemboja dan negara anggota lain bagi memperkukuh perpaduan, kredibiliti dan peranan utama ASEAN dalam mempromosikan keamanan serta kerjasama kemanusiaan.
Menyentuh mengenai perdagangan dua hala, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin nilai perdagangan akan melebihi AS$1 bilion menjelang 2026.
Ia bersandarkan lonjakan nilai dagangan sebanyak 45 peratus kepada hampir AS$750 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Malaysia juga katanya, kekal sebagai antara pelabur utama di Kemboja dan berhasrat untuk memperluas kerjasama dalam sektor digital, tenaga boleh diperbaharui dan industri agro makanan.
Tambah Ahmad Zahid, Malaysia dan Kemboja juga sedang meneroka bidang kerjasama baharu khusunya dalam industri halal.
Katanya, Malaysia boleh berkongsi pengalaman, kepakaran pensijilan, pembangunan Taman Industri Halal dan amalan terbaik untuk membantu Kemboja membangunkan ekosistem halal yang kukuh dan diyakini dalam kerangka pewujudan Majlis Halal ASEAN.
Dalam aspek tenaga kerja dan pendidikan, beliau berkata Malaysia akan terus memastikan kebajikan pekerja Kemboja terpelihara di samping memperluas peluang tenaga pengajar dan pensyarah Kemboja di Malaysia khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). -MalaysiaGazette
















