Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika majlis perasmian Persidangan Kuala Lumpur mengenai Perintah Antarabangsa Baru yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan berdiam diri malah konsisten untuk memperjuangkan pembebasan Palestin bermula dengan penyaluran bantuan kemanusiaan sebanyak RM100 juta kepada Gaza sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan menggerakkan lebih banyak sokongan dan dukungan daripada negara-negara Asia Tenggara dan Jepun.

“Kami juga sokong NGO (badan bukan kerajaan) Global Sumud Flotilla (GSF) dan terima kasih, ia sangat bermakna kepada kami.

“Malaysia telah bercakap di tempat yang penting, pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat kita boleh (bersuara).

“Malaysia salah satu negara selain Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil yang mendukung gencatan senjata dan suara itu semakin lantang ketika ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kuala Lumpur mengenai Perintah Antarabangsa Baharu yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika majlis perasmian Persidangan Kuala Lumpur mengenai Perintah Antarabangsa Baru yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 OKTOBER 2025

Turut hadir Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar.

Sebelum ini, media melaporkan Hamas pada Rabu mengesahkan satu perjanjian telah dicapai bagi menamatkan perang di Gaza, yang turut merangkumi pengunduran tentera Israel serta pelaksanaan pertukaran tahanan dan tebusan.

Hamas memaklumkan persetujuan itu dicapai selepas rundingan bertanggungjawab dan serius bersama beberapa faksi perjuangan Palestin berhubung cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang diadakan di Sharm el-Sheikh, Mesir.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan bertujuan menamatkan perang pemusnahan terhadap rakyat Palestin serta memastikan pengunduran sepenuhnya penjajahan Israel dari Gaza.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, tiada rancangan keamanan dan jaminan keselamatan kepada rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.

“Tiada kenyataan yang jelas untuk memastikan pembentukan negara merdeka untuk rakyat Palestin, kita menerima tentu saja inisiatif walaupun Presiden Donald Trump.

“Tetapi kita harus jujur, cukup untuk mengatakan yang kita tidak mahu berakhir antara perang, kita akan berdepan Netanyahu dan Kabinetnya yang tidak berpura-pura, mereka tidak akan menghormati itu,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia menuntut gencatan senjata kali ini memberikan laluan kepada usaha pembangunan Gaza termasuk bantuan kemanusiaan dan perubatan.

“Gencatan senjata yang kita khuatirkan mesti ada pintu masuk untuk membangunkan Gaza, untuk mengembalikan maruah dan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk hidup secara bebas di negara mereka sendiri.

“Gaza mengingatkan kita bahawa moral dan kuasa tidak pernah mudah untuk  mendamaikan, ia harus wujud bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast