MUAR – Seorang lelaki yang hilang selepas kereta dipandunya terjunam dalam Sungai Panchor, di pekan Pagoh di sini semalam, ditemui mati lemas awal pagi ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, mayat mangsa ditemui dalam kereta Proton Saga dipandunya selepas ditarik naik ke darat.
“Mayat Mud Husni Mahmud yang berusia 47 tahun dijumpai pukul 1.01 pagi tadi dalam kereta tersebut selepas berjaya dibawa naik dengan bantuan kren.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 20 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPD) dari BBP Muar.
“Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tiga tan, sebuah Nissan Navara, dua bot fiber, sebuah pacuan empat road dan sebuah Rapid Rescue Vehicle (RRV),” katanya dalam kenyataan di sini.
Operasi SAR tamat pada pukul 1.38 pagi.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang pemandu kereta dikhuatiri lemas selepas terlibat kemalangan sebelum terjunam ke dalam Sungai Panchor, di pekan Pagoh di sini pukul 2.30 petang semalam.
Susulan itu operasi SAR digerakkan BBP Pagoh dan BBP Muar dengan bantuan polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Sebelum itu tular di Facebook sebuah kereta terjatuh dalam sungai dan mangsanya didakwa suami isteri.
Kejadian berlaku selepas pasangan itu baru lepas makan di sebuah kedai.- MalaysiaGazette
















