KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) mengakui inisiatif seperti Jualan Rahmah dan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjejaskan golongan peruncit dan peniaga-peniaga kecil.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada kumpulan peniaga berkenaan yang berdepan dengan situasi tersebut ketika ini.
Sehubungan itu, menurut beliau, pihaknya menggalakkan golongan peniaga dan peruncit untuk bersama-sama dalam inisiatif tersebut termasuk sebagai Rakan Niaga SARA.
Dalam masa sama, jelasnya, pihaknya dalam merancang penganjuran Jualan Rahmah turut memastikan program itu tidak diadakan berdekatan dengan premis perniagaan peruncit dan peniaga-peniaga kecil.
“Ketika ini kita ada kira-kira 8,400 kedai runcit yang menyertai program SARA dan kita tidak akan berhenti setakat jumlah itu.
“Jadi, kita menggalakkan para peruncit dan peniaga-peniaga kecil untuk memohon menjadi Rakan Niaga SARA memandangkan ini juga merupakan peluang untuk mereka meningkatkan perniagaan mereka.
“Selagi mereka memenuhi syarat dan garis panduan yang maksima, maka permohonan mereka akan diluluskan,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Hui Ying (PH-Tanjong) menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkenaan rungutan daripada peruncit dan peniaga kecil yang terjejas jualan mereka ekoran pelaksanaan SARA yang mengehadkan pembelian hanya di premis-premis tertentu.
Sementara itu, menjawab soalan asal Siti Zailah berkenaan keberkesanan pelaksanaan inisiatif SARA, Hui Ying menjelaskan, setakat semalam, lebih 5.34 juta daripada keseluruhan penerima SARA telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar.
Jelasnya, ia melibatkan kadar penggunaan sebanyak 98 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM3.3 bilion.
Bagi Penghargaan SARA one-off kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa pula, tambah beliau, menyaksikan lebih 16.4 juta rakyat telah berbelanja atau 75 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.42 bilion.
“Berdasarkan prestasi pelaksanaan program SARA bulanan tahun 2025, kadar pengunaan tertinggi telah dicatatkan di Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan 99 peratus tuntutan penggunaan MyKad dalam pembelian di kedai-kedai runcit berdaftar dan seterusnya menafikan kelewatan penggunaan SARA di sebahagian kawasan luar bandar,” katanya. – MalaysiaGazette
















