PETALING JAYA – Pelajar perempuan tingkatan empat yang meninggal dunia dipercayai ditikam pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pagi tadi menjerit meminta tolong.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, seorang guru yang terdengar jeritan mangsa telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Seorang guru yang berada berhampiran terdengar jeritan minta tolong daripada mangsa dan cuba membantu, namun ‘terlambat’ kerana suspek sudah menikam mangsa,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di bahagian badan mangsa dan polis telah merampas dua senjata tajam dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
“Kita rampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini. Jenis senjata akan disahkan kemudian.
“Ketika ini kita tunggu laporan bedah siasat dari hospital bagi mengesahkan jumlah sebenar tikaman yang dialami mangsa.
“Terdapat kecederaan beberapa tikaman didapati di bahagian badan mangsa. Apabila laporan bedah siasat keluar nanti, kita akan tahu berapa jumlah tikaman sebenar,” katanya.
Menurut Shamsudin, setakat ini siasatan mendapati tiada unsur buli dikesan.
Namun polis tidak menolak kemungkinan wujud faktor lain dan siasatan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek termasuk latar belakang kedua-dua pelajar terbabit.
Tambah beliau, polis kini dalam proses merakam keterangan beberapa individu termasuk guru, rakan mangsa dan suspek bagi membantu siasatan.
Mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan pelajar tersebut dihantar ke Hospital Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, suspek berusia 14 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kita akan jalankan siasatan lanjut dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” jelas Shamsudin.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut bawah Seskyen 302 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok bagi permohonan reman. – MalaysiaGazette
















